Fitrah manusia, apabila tiap kali tiba hari-hari istimewa seperti Ramadhan atau Hari Raya, kita pasti terkenangkan orang-orang yang kita kasihi. Diri ku tidak terkecuali. Apabila Ramadhan dan Raya menjelang tiba, aku pasti teringatkan kedua ibubapa ku yang telah lama pergi menyahut panggilan Ilahi.
Kenangan indah waktu bersama mereka masih segar di ingatan. Aku masih ingat, setiap kali hampir Ramadhan, kira-kira beberapa minggu sebelumnya ibu ku akan membeli kain untuk membuat baju kurung kami adik beradik. Walaupun tidak mahal atau cantik (kain cotton plain), namun ia begitu bermakna buat kami kerana ia baju baru. Kanak-kanak masa itu, manalah tahu mahal ke tidak. Yang dia tahu, baju itu baju baru. Haa barulah gerek. Tetapi, itulah ibu ku. Sentiasa ingin anak-anaknya riang ketika menyambut Ramadhan. Warna ketika itu apa lagi kalau bukan pink. Banyak baju-baju aku ketika itu warna pink. Aduhai…
Ramadhan pada waktu itu sungguh meriah. Maklumlah kami masih tinggal di kampung. Kenangan indah yang masih segar diingatan ku ialah ketika bersahur. Aku rasa budaya ini tidak berlaku lagi ketika ini. Setiap pagi apabila hampir tibanya waktu bersahur, ramai orang kampung akan mengelilingi kampung dan mengejutkan kita semua. Mereka akan membawa kayu dan tin atau apa sahaja yang boleh dijadikan bunyian dan mengelilingi kampung sambil berteriak “Sahur, sahur, bangun!!!”. Walaupun dalam keadaan gelap gelita (kerana mereka hanya berbekalkan pelita dan lampu picit), suasana ketika itu sungguh meriah sekali. Kadang-kadang aku dan adik beradik ku akan join sekaki. Kita tidak akan merasai suasana sedemikian lagi. Tak tahulah sama ada suasana sebegini masih wujud di kampung-kampung, tetapi itulah saat-saat indah yang tidak dapat aku lupakan.
Kemudian hampir setiap hari sebelum waktu berbuka, kami dan jiran-jiran bertukar-tukar juadah seperti pengat atau pun aneka mee. Bukan itu sahaja, malah setiap hari juga aku akan pergi ke rumah Pak Leman selepas solat asar untuk mengambil bubur. Bubur Pak Leman memang sedap, tiada tolok bandingnya. Pak Leman adalah ketua kampung dan di kediamannyalah orang ramai selalu berkumpul. Waktu berbuka pula adalah waktu yang amat dinanti-nantikan oleh kami adik beradik. Ini kerana ayah akan membawa pulang sedikit juadah yang berlainan setiap hari yang dibeli dari Geylang ataupun Bussuroh Street untuk anak-anaknya berbuka puasa. Macam-macam juadah silih berganti. Antara kegemaran ku ialah murtabak zam zam, mee maidin, air kathirah dan bermacam aneka kuih seperti dangai, getas-getas, lepat, badak berendam dan bermacam-macam lagi. Namun air yang dibuat oleh ibu ku lah yang amat ku minati iaitu air durian belanda atau air nenas. Begitulah pengorbanan seorang ayah dan ibu. Saling meraikan anak-anak mereka. Pengorbanan, kasih sayang dan didikan kedua ibubapa kami amat kami hargai dan tidak akan kami lupakan sehingga akhir hayat kami. Selepas berbuka, kawan-kawan pasti telah menunggu untuk sama-sama ke surau. Aku selalu duduk di sebelah Zulaikha. Entah kemana perginya Zulaikha sekarang ini, aku pun tak pasti. Yang pasti, zaman kanak-kanak yang kami lalui tidak akan luput dari ingatan.
Beberapa minggu sebelum raya, ibu dan ayah akan membawa kami ke Geylang untuk membeli baju dan kasut. Membeli belah ketika raya adalah saat paling gembira. Rasa-rasanya perasaan sedemikian masih sebati disanubari. Shopping lah katakan, siapa yang tak suka. Kemudian seminggu sebelum raya ibu dan kakak ku akan mula membuat kuih muih. Aku cuma sibuk-sibuk je. Antara yang lazim ialah kuih tart, makmur, bangkit, muruku dan sagon-sagon. Abang-abang ku pula sibuk untuk mengecat rumah dan membersihkan sekeliling rumah. Bila part ini aku memang salute abang sulung aku ini. Dia seorang yang tekun bekerja. Walaupun adik-adik lelaki yang lain selalu tinggalkan kerja separuh jalan, abang sulung ku ini akan membereskan semua kerja-kerja. Tabiat baiknya terserlah hingga ke hari ini. Satu lagi perkara yang membuat abang aku ni cepat membuat kerja ialah apabila berkemundangnya lagu-lagu raya di radio. Apalagi, makin bersemangatlah abang ku ini. Lagu-lagu raya yang hit masa itu ialah nyanyian Allahyarham P Ramlee, S Jibeng, Saloma, Fazidah Joned, Ahmad Jais, Sharifah Aini, Sanisah Huri, Eddy Nur Ali dan ramai lagi. Selang beberapa hari sebelum raya pula, ibu akan membawa aku dan kakak ke salon rambut untuk dikerinting rambut kami. Wahh lagi suka. Maklumlah, bukan baju dan kasut sahaja baru, rambut pun baru.
Selepas hampir sebulan berpuasa, tibalah hari yang dinanti-nantikan yaitu menyambut kedatangan Syawal. Zaman kami dulu, penentuan Syawal adalah dengan melihat anak bulan. So tiap-tiap malam raya, kami akan mendengar radio atau tv untuk mengetahui sama ada esok raya atau tidak. Selalunya ibu ku hanya merebus ketupat, membuat rendang dan serunding dahulu. Lodeh dan sambal udang hanya akan dimasak apabila kami pasti esok hari raya.
Saat indah yang tidak akan aku lupakan sampai bila-bila masa pun ialah di pagi Syawal. Setelah selesai solat idulfitri, kami adik beradik akan beratur dan memohon ampun dan maaf daripada kedua ibubapa kami. Berjujuran airmata apabila tangan kedua ayah dan ibu, kami kucupi. Saat ini sungguh terharu. Saat “ini” juga yang tidak akan kami rasai buat selama-lamanya. Aku rindu untuk mencium tangan kedua ayah dan ibuku dan aku amat merindui kedua mereka.
Satu lagi kenangan manis di pagi raya ialah apabila rumah kami “diserbu”. Akan kedengaran di pagi itu suara kanak-kanak memberi salam, “Assalamu’alaikum” dengan nada riang dan gembira. Saat itulah yang paling indah dan istimewa sekali. Ramai anak-anak jiran dan kanak-kanak lain yang ada kalanya kami sendiri tidak kenal, datang untuk beraya. As usual, aku lah orang yang pertama yang akan membahagi-bahagikan duit-duit raya kepada kanak-kanak yang datang. Maklumlah, aku ni kepo sikit. Waktu itu, duit-duit raya semuanya pakai duit syiling sahaja. Alangkah gembiranya ketika itu. Budaya sedemikian tidak lagi wujud di zaman ini.
Banyak perkara-perkara yang tidak mungkin berulang kembali. Zaman telah banyak berubah. Kita tidak mungkin dapat melalui detik-detik itu sekali lagi. Maka itu mengimbas kembali masa-masa lalu adalah perkara yang teramat dekat dan istimewa bagi setiap insan. Hanya itu yang kita miliki; Kenangan Lalu…
Missing those good old days but most of all, missing my mum and dad…
Semoga Allahyarham ayah dan ibu ku aman di sana dan digolongkan bersama para solihin…aminnn